.

.

Monday, 29 February 2016

Soul Surfer

Salam hormat. Mungkin saya tidak akan berkomentar dari sudut teknikal, kerana ini bukan bidang saya. Lagipun sudah banyak blog yang khusus untuk tujuan itu. Cuma ingin mengongsikan apa yang saya rasa sahaja. 

Saya jarang menonton tv. Tetapi lewat malam tadi, entah bagaimana saya tersangkut di Astro menayangkan filem ini. Mulanya saya kira ia cerita biasa-biasa sahaja. Tapi apabila menuruti perjalanan ceritanya ia semakin menarik. Ia berdasarkan sebuah autobiografi seorang yang bernama Bethany Hamilton, seorang peluncur ombak porfesional yang sebelah tangannya dibaham seekor jerung ketika berusia 13 pada 2003, yang menghancurkan harapannya untuk menjadi seorang peluncur ombak. Namun selang 2 tahun, dia bangkit semula dan menjadi juara kebangsaan buat pertama kali dalam hidupnya. Kisahnya menjadi inspirasi kepada ribuan manusia, walaupun dia bukan seorang artis, tapi, nah .... itulah yang dikatakan kehidupan yang sering berubah apabila keyakinan kita teguh dan tekal untuk mencapai apa yang dihajatkan. 

Saya melihat filem ini suatu bentuk inspirasi yang amat kuat kepada yang sudah menontonnya, barangkali ia cuma kisah biasa orang yang digigit jerung yang diulang-ulang, terutama filem-filem berkenaan jerung. Tetapi sebenarnya, ia seputar semangat Bethany untuk bangkit dan menjadi juara, ya ... bagi saya itu luarbiasa sekali dan amat mengujakan. Jatuh bangun, patah semangat, dan dia bangkit kembali. Kuasa Allah tiada siapa yang bisa menyangkal dan menolaknya. Seorang yang sudah biasa meluncur dengan dua tangan, secara lojiknya bagaimana ia mampu meluncur dengan sebelah tangan pula? 

Ganjil? Pepatah Inggeris berbunyi, God Works In Mysterious Way. Kata guru saya pula, Allah itu ganjil (sa, tidak berbilang), dan Dia sukakan keganjilan.

Moral

Justeru, dalam perbuatan atau pekerjaan seharian atau cita-cita yang ingin kita capai jangalah mudah berputus asa. Saya kira perkataan 'jangan berputus asa' lebih ribuan kali kita terima atau baca dari rakan, saudara atau apa-apa jua bahan dan medium. Namun, hanya tidak banyak yang diceritakan atau dipaparkan dalam bentuk buku atau filem yang kita perasan. Tapi sesekali apabila Tuhan melontarkan hidayah-Nya, kita pasti akan bertembung atau melaluinya, sama ada secara perasan atau tidak langsung. Ya, Bethany bukannya seorang artis glamor dalam dunia hiburan yang dikenali ramai, tetapi semangatnya melampaui semua itu. Tiada yang mustahil dalam hidup ini, sekiranya berusaha dan diizinkan Allah. 

Surah Ar-Ra'd ayat 11. ....إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ .... ertinya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” .

Go go Soul Surfer.

Sumber : 

Wikipedia Filem Soul Surfer
Wikipedia Bethany Hamilton
Laman Web : Bethany Hamilton

0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP