.

.

Friday, 4 March 2016

Tanjak Melayu



Adakalanya kita terpaksa merantau jauh untuk mendapatkan ilmu. Suatu yang diamalkan oleh orang-orang dahulu, yang saya lihat anak-anak muda sekarang terlalu banyak alasan untuk melakukannya. Hatinya mahu, tetapi alasan tiada masa, tiada duit dan pelbagai lagi. Saya terdiam mendengarkan pelabgai alasan tersebut yang dilontarkan kepada saya. 

Pada hemat saya, ini menandakan belum cukup kuat untuk menggali dan mendapatkannya apatah lagi untuk menjadi legasi kepada warisan yang satu ini, terutama destar, tanjak dan tengkolok. Guru-gurunya bukan duduk di satu negeri, terpaksa mengembara dan merantau untuk mendapatkan ilmu.

Mungkin sebab sewaktu belajar gendang dahulu, saya biasa merantau, maka saya mohon kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk mengumpulkan ilmu tentang destar Melayu ini. Atas rasa kasih dan tak mahu lagi ianya hilang seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Ia bukan hilang, tetapi bagai permata tersembunyi yang perlu digali. Pun begitu, masih ada beberapa negeri lagi yang saya belum mendapatkan ilmu tanjaknya. 

Semoga cita-cita saya dimakbulkan Allah agar terpelihara lagi khazanah keilmuan Melayu yang satu ini. Sebabnya, di kala zaman terlampau moden ini, orang hanya berharapkan bengkel dan kursus diadakan barulah dia menyertai. Ia suatu perkara yang bagus untuk pengenalan, tetapi kenalah mengadap guru secara berhadapan. Tapi mengapalah, bahagian masing-masing agaknya.

Cuma kadang-kadang apabila orang bertanya bolehkah belajar tanjak, ada sesetengah caranya agak kurang beradab, maaflah kena cakap juga. Saya bukannya guru, hanya pelajar yang masih menuntut tetapi berhemahlah. Kalau kita mahukan 'barang' orang, kena pandai-pandailah. Janganlah sesekali menunjukkan sikap yang kurang sopan atau konon dirinya layak teramat untuk belajar. Sebab apa yang guru saya ajar, paling banyak markah adalah sikap 'sopan-santun.'

Itu tak termasuk lagi mereka yang belajar melalui gambar dari internet dan sebagainya. Hanya mahu meniru sahaja, tanpa mengambil kira perasaan orang yang ditirunya. Tapi itulah yang menyebabkan saya faham bahawa orang tua-tua dulu bukannya kedekut ilmu tetapi cara orang yang mahukan ilmunya tidak kena atau ada sesuatu yang dipertimbangkan tanpa diberitahu kepada yang bertanya tersebut. 

Memang manusia tidak sempurna. Jadi sebab itulah, kita belajar, cari guru dan hentikan memberikan alasan tiada masa atau tiada duit. Seperkara lagi, cukuplah mengatakan semua ilmu ini dari Allah sebagai alasan untuk bermalasan dalam mencari ilmu; sebab bukan sahaja ilmu, malah apa jua segala-galanya Allah punya. Jadi bergurulah, saya pula cakap begini, ilmu sihir pun orang pergi berguru, apatah lagi ilmu-ilmu yang baik, Insya-Allah. 

Dan perkara pelajar yang datang mahu membuat kajian, tesis, atau kertas kerja, dokumentasi dan sebagainya memang saya sudah malas. Hingga kini beberapa pelajr dari pelbagai IPTA datang mencari dan menemuramah, tidak seorang pun yang memberikan kertas kerja mereka sudah siap, sedangkan mereka sebelum itu berjanji mahu memberikan saya. Entahlah. Jadi kalau ada yang mahu menginterbiu, memang saya malas buat masa kini untuk melayannya.

Disamping itu, saya sedang mengumpul seberapa banyak maklumat dan ilmu tentang tanjak ini, masih lagi belajar. Insya-Allah. Tujuannya adalah untuk mendokumentasikannya untuk maslahah dan rujukan akan datang. Yang ada setakat ini hanya satu sahaja, diterbitkan oleh muzium negara.

Akhirnya, semoga artikel di dalam jurnal ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat untuk kita cerna dan mengambil manfaat. Andainya ada yang tersilap bahasa, terkasar perkataan dan tak kena di hati, saya mohon maaf awal-awal. Wuallahua'lam.

0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP